Saman Najib: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah tarik rayuan

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan saman yang dikemukakannya berhubung angkat sumpah jawatan perdana menteri pada 2009 yang didakwa tidak mengikut Perlembagaan.

Peguam Adenan Ismail yang mewakili Mat Zain, memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid bahawa anak guamnya ingin menarik balik rayuan itu dengan kos RM2,500.

Badariah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah, kemudian membatalkan rayuan itu dengan kos RM2,500.

Pada 6 Julai 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu kerana isu berkenaan menjadi akademik kerana Najib bukan lagi perdana menteri.

Dalam samannya yang difailkan pada 3 Mac 2018, Mat Zain mendakwa sumpah jawatan dan kesetiaan yang dibuat Najib pada 3 April 2009, tidak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diubah.

Beliau memohon pengisytiharan tindakan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan sebagai batal dan tidak sah.

Adenan, yang ditanya sebab anak guamnya tidak mahu meneruskan rayuan itu semasa ditemui di luar mahkamah, berkata ia adalah kerana perkara itu sudah tidak relevan kerana Najib bukan lagi perdana menteri.

Peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri mewakili Najib. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!