Graduan perlu main peranan, pastikan Malaysia kekal berdaulat
SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar para graduan dapat memainkan peranan masing-masing secara intelek bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara berdaulat.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah mengingatkan graduan sebagai golongan intelek agar jangan sesekali membiarkan negara dalam keadaan porak-peranda, kacau-bilau, dan hilang segala-galanya.
"Salah satu daripada caranya ialah dengan bersatu padu sesama kita rakyat Malaysia. Jika kita tidak bersatu, kita tidak akan mampu mempertahankan negara kita ini daripada pelbagai bentuk ancaman yang datang daripada pihak yang mahu melihat negara kita ini jatuh dan hancur,” titah baginda pada hari kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada Rabu.
Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan terus membimbing anak-anak dan sentiasa menegur agar mereka tidak melupakan asal usul.
"Ibu bapalah yang membimbing mereka sejak kecil, sehingga berjaya pada hari ini. Saya berharap, ibu bapa tidak akan berhenti membimbing anak-anak setakat ini sahaja. Tegurlah mereka, dari jauh mahu pun dekat, agar mereka tidak akan lupa asal usul mereka,” titahnya.
Tengku Permaisuri percaya di bawah pimpinan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, universiti itu mampu mencapai hasrat menjadi Globally Renowned University pada 2025."Sudah terbukti, pada tahun 2022 ini, walaupun dalam suasana dunia dilanda pandemik COVID-19, UiTM berjaya berada di kedudukan 105 dalam QS Asia University Rankings dan kedudukan 651-701 dalam QS World University Rankings.
"Ini bermakna, dengan pencapaian ini, UiTM berada pada landasan yang betul dan tepat untuk menjadi universiti terkemuka dunia. Saya akan bersama-sama UiTM untuk memberi komitmen dan kerjasama agar cita-cita ini dapat dicapai pada tahun 2025 nanti,” titah baginda.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!