12,033 penagih dadah direkod di Terengganu

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 pada Rabu.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Terengganu merekodkan seramai 12,033 penagih dan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta substan pada tahun lalu.

Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Md Saidin Mohd Noor berkata, jumlah itu menurun 3.7 peratus berbanding 12,499 orang yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Menurut Md Saidin, walaupun mencatatkan penurunan, Terengganu masih kekal antara negeri yang mempunyai masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah tertinggi dalam negara.

“Kebanyakan individu yang terlibat adalah golongan belia dan kita turut bimbang dengan peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu, New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia.

“Oleh itu, AADK sentiasa berusaha membanteras penyalahgunaan dadah dan substan di negeri ini dengan melaksanakan operasi serta kempen pencegahan secara berterusan di kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dengan masalah tersebut kerana ia turut melibatkan imej kerajaan.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan dadah dan tindakan disiplin akan diambil kerana ia bukan hanya jejaskan seorang individu malah imej seluruh agensi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!