1.9 juta rumah kosong di seluruh negara: DOSM
KUANTAN - Sebanyak 1.9 juta rumah kosong direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di negara ini berdasarkan penemuan utama Banci Malaysia 2020.
Ketua Perangkawan DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 1.2 juta kediaman kosong direkodkan pada tahun 2010.
Menurutnya, berdasarkan statistik, terdapat 9.6 juta kediaman di seluruh negara.
"Di Pahang, terdapat 18 peratus kediaman yang sudah dibeli namun tidak didiami sepenuhnya manakala di Melaka merekodkan lebih 30 peratus kediaman tidak didiami.
"Kebanyakan rumah tidak didiami itu disebabkan pemilik berada di tempat lain dan menjadikan kediaman tersebut sebagai rumah persinggahan atau inap desa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Jelajah Banci Malaysia: Pahang Bersama Media di sini, pada Rabu.
Mohd Uzir berkata, berdasarkan Bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk negara ini seramai 32.4 juta orang.
"Daripada jumlah itu, 17 juta adalah lelaki manakala 15.5 juta wanita dengan nisbah 113 lelaki bagi setiap 100 wanita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!