Pemimpin Afrika mahu pengecualian larangan import gandum, baja Rusia
KIGALI - Pemimpin Afrika Barat pada Selasa menuntut pengecualian larangan import gandum dan baja dari Rusia, susulan rantaian bekalannya terputus akibat krisis di Ukraine, lapor Agensi Anadolu.
Berucap pada edisi ke lapan Forum CEO Afrika di Abidjan, Ivory Coast, Presiden Senegal selaku pengerusi Kesatuan Afrika, Macky Sall, berkata pengecualian sekatan kewangan terhadap Moscow oleh negara-negara Eropah untuk meneruskan perdagangan tenaga dengan Rusia juga harus diguna pakai terhadap import Afrika.
"Kami menjadi mangsa keadaan kerana kelemahan ekonomi kami," kata Sall.
Bulan lalu, pemimpin Kesatuan Eropah bersetuju menyekat kebanyakan import minyak Rusia menjelang akhir 2022 tetapi larangan itu hanya melibatkan import minyak melalui laut, bukan minyak yang disalurkan menerusi paip, selepas dibantah Hungary.
Sekatan ke atas eksport gas Rusia ke EU turut ditangguhkan, meskipun rancangan membuka saluran paip gas baharu dari Rusia ke Jerman telah dibekukan.
Sall menegaskan ekonomi Afrika terjejas kerana krisis di Ukraine.
Terdahulu, Presiden Ivory Coast Alassane Ouattara melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi dan risiko kekurangan beberapa produk seperti gandum di Afrika.
"Kami khuatir, dengan kelembapan pertumbuhan global dan ketersediaan produk tertentu di Afrika seperti gandum, baja dan sudah tentu didorong inflasi," katanya.
Ouattara memuji daya tahan ekonomi Afrika dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.
Sidang kemuncak ekonomi dua hari berakhir pada Selasa itu menarik penyertaan kira-kira 1,500 ahli perniagaan dan pembuat keputusan dan bertemakan "Kedaulatan, pertumbuhan hijau dan transformasi perindustrian: laluan baharu ke arah kemakmuran Afrika." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!