Di mana keadilan untuk mangsa scammer, soal Fahmi

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempersoalkan mengapa penerima-penerima akhir duit yang dicuri oleh scammer sukar dikenal pasti.

Menurutnya, sehingga hari ini, mereka yang dihadapkan ke mahkamah lebih ramai daripada kalangan pemegang 'mule' iaitu akaun yang diperalat scammer berbanding kepala-kepala atau taiko-taiko scammer itu sendiri.

"Kenapa ini berlaku? Adakah Kerajaan tidak dapat mengarahkan bank-bank untuk membuat audit forensik terhadap ‘money trail’ supaya kita dapat tahu selain duit yang dicuri ini masuk ke akaun-akaun ‘mule’, siapa sebenarnya penerima akhir duit rakyat yang dicuri ini?

"Contoh, seperti dalam kes 1MDB yang melibatkan (Datuk Seri) Najib Razak, duit 1MDB pun pergi ke akaun-akaun 'shell company' (boleh kita misalkan sebagai ‘mule’ juga) sebelum akhirnya didakwa masuk ke akaun Najib,"katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau merujuk laporan sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.3 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 2017 hingga tahun lalu.

Fahmi berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan sekurang-kurangnya RM660 juta yang dicuri daripada hampir 20,000 orang setiap tahun.

"Ini belum dikira jumlah yang kena scam sehingga kini. Ini bukan jumlah yang kecil," katanya.

Fahmi menambah, dalam kes 1MDB melibatkan Najib, pegawai-pegawai bank mengesan ‘money trail’ yang jumlahnya berbilion ringgit merentasi pelbagai negara dan sistem kewangan.

"Apakah bank-bank terutama Bank Negara dan Bukit Aman tidak dapat mengenal pasti siapa penerima-penerima akhir duit yang dicuri scammer-scammer ini? Dan kemudian heret kepala-kepala scammer ini ke mahkamah?

"Di mana keadilan untuk 100,000 mangsa scammer? Dan ke mana perginya RM3.3 bilion ini? Diguna untuk aktiviti-aktiviti rasuah atau jenayah-jenayah yang lain?," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!