Pokok hutan hiasan bernilai RM80,000 dirampas
KOTA BHARU - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan seorang lelaki dan merampas lapan batang pokok hutan hiasan dipercayai diseludup masuk dari Thailand bernilai RM80,000 dekat Kampung Kijang, Tanah Merah awal pagi Rabu.
Komander PGA Briged Tenggara, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, dalam kejadian 2.30 pagi itu, sepasukan anggota Strike Force PGA yang membuat rondaan ternampak sebuah lori jenis Volvo dalam keadaan mencurigakan keluar daripada pangkalan haram berdekatan kampung tersebut.
"Hasil pemeriksaan menemukan beberapa pokok hutan hiasan yang dipercayai diseludup dari Thailand dan pemandu berusia 39 tahun itu diupah untuk membawa pokok-pokok tersebut ke Johor," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pemandu serta kesemua rampasan termasuk lori bernilai RM350,000 dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984(Pindaan 1993). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!