Akta profesion guaman syarie mula dikuat kuasa 21 Jun
PUTRAJAYA - Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 [Akta 814] akan mula dikuatkuasakan pada 21 Jun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, akta berkenaan telah diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.
Beliau berkata, penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Profesion Guaman Syarie 2019 dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No.2) 2019 [Akta 1606] telah disiarkan dalam Warta pada 9 Jun lepas.
Ia telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 27 Mei lepas dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas, katanya.
Idris berkata, selaras dengan penguatkuasaan Akta 814, Badan Peguam Syarie (BPS) Wilayah-Wilayah Persekutuan ditubuhkan di bawah subseksyen 42(1) Akta 814 yang antara lainnya bertujuan menggalakkan dan menjaga kepentingan profesion guaman syarie.
"Matlamat penubuhan BPS itu adalah sama dengan penubuhan Bar Malaysia yang mengawal selia profesion guaman di mahkamah sivil," katanya.
Menurut subseksyen 49(1) Akta 814, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah selepas tamat tempoh 30 hari dan tidak lewat daripada 60 hari dari tarikh permulaan kuat kuasa akta, memanggil semua anggota Badan Peguam Syarie bagi suatu mesyuarat pada bila-bila masa dan mana-mana tempat untuk memilih 13 anggota Majlis Peguam Syarie.
"Saya berharap agar Akta 814 ini dapat memartabatkan institusi perundangan syariah dan memperkasa profesion guaman syarie melalui kawal selia profesion tersebut secara menyeluruh setaraf dengan profesion guaman yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166]," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!