'Runsing pengunjung ke Janda Baik makin merosot'

Husin gusar dengan nasib pusat penginapan miliknya yang diusahakan sejak 14 tahun lalu
Husin gusar dengan nasib pusat penginapan miliknya yang diusahakan sejak 14 tahun lalu
A
A
A

BENTONG- "Hujung minggu tidak seperti dulu, selalu chalet dipenuhi kini situasi amat berbeza," kata seorang pemilik pusat penginapan di Janda Baik, Hussin Yusoff, 70 di lokasi pelancongan terkenal tersebut.

Pesara guru itu mendakwa, situasi itu lebih ketara sejak banjir melanda di lokasi tersebut iaitu terkini pada Mei lalu.

Dakwanya, jumlah pengunjung di pusat penginapannya menyusut hingga 30 peratus akibat situasi tersebut.

"Kalau dulu, memang tiada bilik kosong, sentiasa penuh terutamanya bila hujung minggu atau cuti umum malah sebulan awal, sudah penuh untuk tempahan.

"Boleh dikatakan sejak 14 tahun mengusahakan pusat ini, kali ini memang terasa perbezaannya berbanding dulu," katanya lagi.

Tambahnya, memang terdapat rungutan pengunjung yang melihat keadaan sungai yang menjadi tarikan di Janda Baik kini berubah keruh.

Hussin Yusoff
Hussin Yusoff

Tekanan juga dirasai oleh warga emas itu susulan Rancangan Khas Kawasan (RKK) Janda Baik yang didakwa menyebabkan sebahagian pusat penginapan akan terjejas jika ia dilaksanakan.

"Sebanyak RM1 juta telah dilaburkan untuk membangunkan pusat penginapan ini sejak 14 tahun lalu yang juga menjadi perniagaan keluarga saya.

"Saya memang berharap ia tidak dilaksanakan selain kebimbangan saya kini adalah apabila kampung tradisi ini akan dibangunkan dengan pelbagai pembangunan, ia akan memburukkan lagi keadaan dengan wujudnya lebih banyak buangan sisa sekali gus mencemarkan lagi sungai yang ada di kampung ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemajuan di Kampung Janda Baik namun berharap agar kemajuan yang dirangka seiring dan bersesuaian dengan tema kampung tradisional.

“Kemajuan itu digalakkan namun berharap agar ia tidak menjejaskan keadaan sedia ada kampung ini.

“Segala elemen yang merosakkan keadaan sedia ada kampung ini haruslah diketepikan.

"Pihak bertanggungjawab harus memikirkan perkara terbaik dalam usaha memajukan kampung ini tanpa menjejaskan imej Janda Baik sebagai kampung tradisional,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!