Obor-obor kembali di Pantai Tok Bali

Anggota Pasukan Penyelamat Pantai APM Pasir Puteh menunjukkan spesis obor-obor merah (Sea nettle jellyfish) yang terdampar di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh
Anggota Pasukan Penyelamat Pantai APM Pasir Puteh menunjukkan spesis obor-obor merah (Sea nettle jellyfish) yang terdampar di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh
A
A
A

PASIR PUTEH - Obor-obor kembali menyerang Pantai Tok Bali di sini selepas hidupan laut itu ditemui terdampar di kawasan tersebut sejak Jumaat lalu.

Pemangku Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Leftenan Pertahanan Awam Mohd Radzuan Nasir berkata, sepanjang tempoh seminggu itu seorang pengunjung pantai berkenaan telah terkena sengatan hidupan laut tersebut.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di kawasan pantai itu, pihak kami mendapati ia adalah spesis obor-obor merah (Sea nettle jellyfish).

"Kami merawat mangsa dengan menyapu cuka di tempat sengatan sebagai rawatan awal sebelum mendapatkan rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, sebagai tanda amaran, APM melalui Pasukan Penyelamat Pantai telah menaikkan bendera merah supaya pengunjung menjauhi aktiviti mandi-manda di kawasan itu.

Beliau berkata, setakat ini orang ramai hanya dibenarkan menjalankan aktiviti di kawasan gigi air sahaja.

Katanya, walaupun obor-obor itu daripada spesies biasa, namun ia tetap mampu mengancam keselamatan dan kesihatan pengunjung sekiranya mereka terkena sengatan hidupan laut itu.

Mohd Radzuan berkata, orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menyentuh serta menjauhi hidupan itu sekiranya ternampak ketika berjalan di kawasan tersebut.

Sebagai tanda amaran, APM Pasir Puteh melalui Pasukan Penyelamat Pantai telah menaikkan bendera merah supaya pengunjung menjauhi aktiviti mandi-manda di kawasan itu.
Sebagai tanda amaran, APM Pasir Puteh melalui Pasukan Penyelamat Pantai telah menaikkan bendera merah supaya pengunjung menjauhi aktiviti mandi-manda di kawasan itu.

"Jika ada pengunjung yang terkena sengatan obor-obor, mereka perlu terus menghubungi atau merujuk Pasukan Penyelamat Pantai yang bertugas di kawasan tersebut.

"Anggota yang bertugas akan memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa ke hospital," katanya.

Menurutnya, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang serius, orang ramai perlu peka dengan keadaan sekeliling agar tidak terkena sengatan obor-obor.

Beliau berkata, walaupun hidupan itu ditemui dalam jumlah yang kecil ketika ini, namun pihaknya percaya ia masih banyak lagi di dalam laut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!