SPM: 31 sekolah di Kelantan lulus 100 peratus

Mohamad (dua dari kanan) menunjukkan keputusan SPM yang diumumkan pada Khamis.
Mohamad (dua dari kanan) menunjukkan keputusan SPM yang diumumkan pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 51 buah sekolah di Kelantan menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi Gred Purata Negeri (GPN) dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan), Mohamad Ab Wahab berkata, nilai GPN pada 2021 ialah 5.10.

Menurut beliau, terdapat 82 sekolah mengatasi peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri iaitu 88.7 peratus dengan 31 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus termasuk 10 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Sejumlah 56 mata pelajaran diambil oleh calon SPM di negeri ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 28 mata pelajaran mencapai kelulusan 100 peratus,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Peperiksaan SPM di Jabatan Pendidikan Negeri di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pendidikan dan Pembelajaran, Harun Yusof; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Mashadi Mustafa dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Mohd Hassany Hashim.

Mohamad berkata, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra muncul sekolah terbaik Kelantan, manakala dua lagi sekolah mencapai kelulusan 100 peratus bagi semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Tarbiah Islamiah Kampung Kajang, Tanah Merah dan Kolej Vokasional Kota Bharu.

Tambah beliau, sebanyak 19 mata pelajaran menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

“Tiada perbandingan keputusan antara sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah kerana SPM menggunakan format baharu. Kita mengucapkan tahniah kepada sekolah dan pelajar yang cemerlang,” katanya.

Sementara itu, enam pelajar mendapat keputusan A bagi semua pelajaran iaitu Fatin Aimi Afiqah Mahyudin dan Mohammed Danish Allani Husni dari SMS Tengku Muhammad Faris Petra; Nur Nabilah Amani Anuar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Naim Lil-Banat; NorAzian Mohd Noor dari SMK Datuk Mahmud Paduka Raja; Farizal Ezani Abdul Rahman dari SMS Machang dan Siti Nur Alisya Zulaikha Zamri dari SMS Pasir Putih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!