1,803 calon SPM di Selangor dapat keputusan cemerlang
PETALING JAYA - Walaupun berdepan pandemik Covid-19, peratus keputusan cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Selangor meningkat 0.18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Rohayati Abd Hamed berkata, seramai 1,803 daripada 74,519 calon mendapat keputusan tersebut.
Menurutnya, Gred Purata Negeri (GPN) 2021 menurun 0.03 daripada 4.90 berbanding 4.87 pada tahun sebelumnya.
"Seramai 11,432 calon yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin menduduki peperiksaan SPM sesi kedua pada 5 hingga 19 April 2022.
"Walaupun berdepan pelbagai dugaan dan cabaran, berkat kerjasama daripada semua pihak, peperiksaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan semua calon berjaya mendapat keputusan SPM mereka," katanya semasa berucap ketika menyampai keputusan SPM di SMK (P) Sri Aman di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Pengetua SMK (P) Sri Aman, Salwani Mohammad Zain menyifatkan keputusan SPM 2021 di sekolahnya adalah yang terbaik sejak peperiksaan tersebut dijalankan.
Katanya, seramai 43 daripada 174 calon SPM 2021 berjaya mendapat keputusan cemerlang.
"Sekolah ini berjaya merekodkan gred purata 1.98 yang disasar boleh dicapai pada tahun 2023.
"Kita tidak pernah dapat gred purata bawah 2.00. Jadi ini adalah cabaran untuk sekolah harian seperti kami capai sasaran sebanyak ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!