94,200 penagih 'kempunan', bekalan dadah dirampas

Polis Kelantan mendedahkan seramai 94,200 penagih bakal 'kempunan' apabila pelbagai jenis dadah dirampas dalam Op Tapis Bersepadu.
Polis Kelantan mendedahkan seramai 94,200 penagih bakal 'kempunan' apabila pelbagai jenis dadah dirampas dalam Op Tapis Bersepadu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan seramai 94,200 penagih bakal 'kempunan' apabila pelbagai jenis dadah dirampas dalam Op Tapis Bersepadu.

Operasi yang dijalankan di seluruh negeri sepanjang tempoh seminggu bermula 5 hingga 12 Jun lalu itu melibatkan nilai rampasan berjumlah RM211,999.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Pasir Puteh dan Bachok itu pihaknya berjaya menahan 10 lelaki serta seorang perempuan berusia di antara 20 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan berhubung rampasan tersebut.

"Hasil daripada serbuan itu, polis merampas 18,500 pil yaba, heroin (211.57 gram), syabu (75.90 gram) dan ganja (14.64 gram)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, selain itu polis turut menyita sembilan buah motosikal, dan dua buah kereta sepanjang Op Tapis Bersepadu.

Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM16,280, dua utas gelang dan dua bentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM123,324 turut dirampas.

Sheik Azhar berkata, kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!