'Usain Bolt Malaysia' cemerlang SPM
PELARI pecut negara yang menerima julukan 'Usain Bolt Malaysia' memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 apabila mendapat 6A daripada keseluruhan sembilan mata pelajaran yang diambil.
Muhammad Azeem Fahmi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini menganggap keputusannya itu di luar jangkaan di saat jadual latihan yang padat selain beberapa kejohanan yang perlu disertai sepanjang minggu peperiksaan.
"Alhamdulillah rezeki saya hari ini untuk dapat 6A selepas kejayaan di Sukan SEA (Hanoi 2021).
"Mungkin bagi orang lain keputusan saya ini biasa-biasa sahaja, tetapi bagi saya sangat berbaloi dengan apa yang saya lalui sepanjang tempoh peperiksaan SPM.
"Waktu peperiksaan pun, saya masih keluar bertanding hinggalah sampai kertas terakhir subjek Ekonomi, saya masih ada game lagi.
"Saya sangat berpuas hati dan rasa semua pengorbanan serta penat lelah sudah pun terbayar," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, kesibukan latihan dan kejohanan yang disertai selama ini tidak sedikit pun menjejaskan tumpuan dalam kelas.
Katanya, setiap hari bermula seawal jam 5.30 pagi, masanya diperuntukkan untuk belajar dan hanya menjalani latihan pada sebelah petang bermula 5.30 petang sebaik tamat kelas tambahan.
"Malam pula saya akan sediakan diri untuk kelas persediaan.
"Penat memang penat, tetapi alhamdulillah saya dapat kekuatan daripada guru dan rakan serta doa keluarga yang sentiasa memberi semangat supaya saya terus konsisten dalam belajar dan sukan," katanya.
Muhammad Azeem berkata, keputusan SPM itu membakar semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam kedua-dua bidang sukan dan pelajaran.
Beliau kini dalam pertimbangan untuk menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat sambil mengikuti latihan di sana selepas mendapat beberapa tajaan biasiswa dari kolej di sana.
"Insya-ALLAH jika semua dipermudahkan, Januari nanti saya akan terbang ke US (Amerika Syarikat) untuk belajar dan latihan.
"Ada beberapa kolej dah hantar tawaran, sekarang ini masih dalam peringkat perbincangan dengan keluarga untuk pilih mana yang terbaik," katanya.
Dalam Sukan SEA Hanoi 2021, Muhammad Azeem tampil selaku pelari pertama kuartet 4x100m yang turut dibarisi Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki, Muhammad Haiqal Hanafi.
Gandingan pelari negara itu berjaya meraih perak serta mencipta rekod kebangsaan baharu dengan 39.09s, meleburkan rekod terdahulu 39.27s yang dicatatkan oleh kuartet Nixson Kennedy, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!