Ibu tunggal hidap kanser perut terharu anak dapat 9A
MELAKA - Kesakitan yang dilalui ibunya yang menghidap kanser perut tahap empat sejak tiga tahun lalu menjadi perangsang kepada seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai memperolehi 9A 1B+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan pada Rabu.
Muhammad Shamil Aiman Norsham,18, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, setiap kali mengulang kaji pelajaran dia akan teringat dan membayangkan kesengsaraan ibu lebih-lebih lagi selepas berpisah dengan bapa sejak 2014.
Menurutnya, menyedari kehidupannya yang banyak kekurangan terutama dari segi kewangan, menjadi keazaman untuk dia tekad mengubah nasib keluarga dan berusaha belajar bersungguh-sungguh sehingga mencipta keputusan cemerlang itu.
Katanya, cabaran yang dihadapi bukan sahaja berdepan pandemik Covid-19, malah tinggal bersama tiga anak saudara yang masih kecil berusia empat hingga tujuh tahun selepas kakak sulungnya berpisah dengan suami, membuatkan dia perlu memilih masa sesuai untuk belajar.
"Memandangkan rumah sewa kami kecil, jadi saya hanya belajar pada waktu awal pagi iaitu dalam jam 3 atau 5 pagi sebelum anak-anak buah bangun. Biarpun rasa sukar ditambah dengan keadaan ibu yang sakit, namun saya cuba juga beri tumpuan kepada pelajaran.
"Alhamdulillah, ALLAH SWT balas dengan kejayaan yang tak pernah saya sangka, dan ini bukan kejayaan saya seorang," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM 2021 di Dewan SMK Bukit Rambai.
Dia yang kini bekerja sambilan di kedai serbaneka berkata, kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa berkat doa seorang ibu dan guru-guru.
Ujarnya, yang mengambil sains sukan, berharap dapat mencapai cita-cita sebagai ahli fisioterapi.
Sementara itu, ibunya, Siti Khajura Badros, 49, berkata, dia yang sebelum ini mengambil tempahan makanan tidak dapat bekerja sejak 2019 setelah disahkan menghidap kanser.
Menurutnya, biarpun sakit namun sentiasa memberi semangat kepada anak kedua itu agar dapat mengubah nasib keluarga suatu hari kelak.
Katanya, mengakui ada kalanya tidak dapat memberi perhatian terhadap Muhammad Shamil Aiman lebih-lebih lagi selepas menjalani sesi kemoterapi kerana perlu mengasingkan diri.
"Syukur dia faham keadaan saya dan keluarga kami yang susah, dan saya pun hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.
"Saya harap kejayaan ini akan memberi motivasi untuk dia terus berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!