Peniaga telefon didakwa memandu secara berbahaya
JOHOR BAHRU - Seorang peniaga telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga membahayakan konvoi polis, awal bulan ini.
Tertuduh, Tan Wei Meng, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.
Mengikut pertuduhan, Wai Meng didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya dengan cara memotong dengan laju di sebelah kiri hingga membahayakan konvoi polis dan orang awam yang lain.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 4.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala pusat bandar Johor Bahru kira-kira jam 9.45 pagi pada 7 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, Wai Meng didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Julai depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Johor, Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!