Anak tukang rumah peroleh 11A SPM

Umi Aida berkongsi kegembiraannya memperolehi keputusan 11A SPM 2021 bersama ibu yang hadir ke SMKA Falahiah pada Khamis.
Umi Aida berkongsi kegembiraannya memperolehi keputusan 11A SPM 2021 bersama ibu yang hadir ke SMKA Falahiah pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Kegigihan bapa mencari rezeki sebagai tukang rumah menjadi pembakar semangat kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah di sini untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Umi Aida Ismail berkata, kejayaan memperoleh keputusan 11A didedikasikan kepada ibu bapanya, Ismail Zakaria, 60, dan Hanifah Abdullah, 56, yang tidak putus-putus memberikan semangat kepada dia untuk belajar dalam suasana pandemik Covid-19 lalu.

"Sebagai anak, saya ingin membalas jasa ibu dan bapa yang telah banyak berkorban," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, amalan membaca surah Yasin setiap hari selepas solat Subuh juga merupakan antara rahsia disebalik kejayaan anak bongsu daripada lima beradik ini.

Katanya, selain itu dia tidak pernah meninggalkan solat sunat serta sentiasa fokus semasa belajar dan dengar arahan guru.

Umi Aida berkata, diharap dengan usaha gigih yang dilakukan itu dapat membantunya mencapai impian untuk menjadi seorang doktor.

Umi Aida memperolehi semua A dalam 11 mata pelajaran yang diambil iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Fizik, Biologi, Kimia, Bahasa Arab, Pendidikan al-Quran dan al-sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah.

Sementara itu, seorang pelajar rabun dari SMKA Falahiah turut memperolehi keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Sofiyyatul Najiha Mustafa Kamal berkata, setiap kali mengulang kaji pelajaran dia terpaksa menangkap layar bahan bacaan dan kemudian membesarkannya di telefon bagi memudahkan urusan.

"Awalnya, saya sering merasa rendah diri kerana sukar untuk membaca tulisan kecil dan lambat, tidak seperti pelajar lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!