SkyWorld bantu mangsa banjir di Raub, Temerloh
SHAH ALAM- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada tujuh pemilik rumah yang musnah akibat banjir yang berlaku di Raub dan Temerloh, Pahang pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif SkyWorld Development Group (SkyWorld), Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, keberangkatan baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, baru-baru ini untuk melihat sendiri kediaman baharu yang dibina dan diubah suai.
Menurutnya, SkyWorld telah menyokong usaha YASA untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
"Pembinaan kediaman YASA itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dan SkyWorld telah mendermakan wang tunai berjumlah RM70,000 dan menyediakan perabot baharu seperti katil dan tilam, kabinet dapur, meja makan dan kerusi.
“Kami berharap mereka tidak merasa keseorangan ketika berdepan masa yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebagai salah satu komitmen menerusi tanggungjawab sosialnya, SkyWorld mahu mewujudkan komuniti yang hidup bersatu padu dan memberikan kembali kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!