Pembantu jualan dipenjara enam tahun, enam sebatan
SEREMBAN - Seorang pembantu jualan kedai serbaneka dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, dua tahun lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Shukri Md Yasin, 36, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang di Jelebu pada jam 2 pagi, 19 Jun 2020.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa di lokasi sama pada jam 3 pagi, 20 Jun 2020.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu mahkamah telah insaf dan itu merupakan kesalahannya yang pertama.
Pihak pendakwaan dikendalikan olehTimbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak.
Mengikut fakta kes, mangsa mengenali tertuduh di sebuah Acara Tarian Orang Asli dan berhubung melalui aplikasi WeChat.
Keluarga mangsa telah membuat laporan polis selepas remaja perempuan itu dilaporkan tidak pulang ke rumah sebaik keluar menaiki motosikal dan kenderaannya ditemui tersadai di sebuah taman permainan.
Selepas ditemui, mangsa memberitahu pihak polis bahawa tertuduh ada melakukan hubungan seksual dengannya dan tertuduh telah ditahan pada 20 Jun 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!