'Biar SPRM siasat dakwaan Exco Kedah seleweng dana'- Sanusi
ALOR SETAR – Kerajaan negeri menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan berhubung penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan isu berkenaan perlu dirujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang menulis tentang perkara itu.
Muhammad Sanusi turut menolak cabaran Asmirul supaya mendedahkan nama individu yang terlibat dalam penyelewengan dana bantuan terbabit.
“Saya baca Asmirul yang tulis cerita itu, kena tanya Asmirul. Saya tidak ada jawapan. Saya tidak terima cabaran dia (untuk mendedahkan nama Exco terbabit).
"Cabaran itu tidak signifikan, buat apa saya nak bising-bising. Biar agensi buat kerja. Dia pun nampak sangat macam ‘over’ sikit. Suruh orang bercakap. Dia nak cakap, dia cakaplah. Kena pergi tanya dia,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, Stargate, di sini pada Khamis.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah yang didakwa membabitkan seorang Exco Kedah.
Pada Khamis lepas, Asmirul yang juga bekas Exco Belia dan Sukan Kedah telah memuat naik satu kenyataan di akaun Facebook miliknya dengan mencabar Muhammad Sanusi supaya membuat kenyataan akhbar menafikan wujudnya sebarang salah laku Exco Kedah.
Asmirul turut mencabar Muhammad Sanusi untuk mendedahkan identiti Exco Kedah yang dikaitkan dengan isu penyelewengan dana bantuan rangsangan ekonomi terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!