Solat tahajud rahsia anak yatim piatu dapat 8A

Nur Syafiqah menunjukkan keputusan SPM di SMK Bukit Rambai, Melaka pada Rabu.
Nur Syafiqah menunjukkan keputusan SPM di SMK Bukit Rambai, Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Biarpun hanya menumpang kasih ibu saudara selepas pemergian ibu bapa beberapa tahun lalu, tidak menghalang seorang anak yatim piatu untuk mencapai keputusan cemerlang 8A,1B+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, Nur Syafiqah Sani,18, berkata, kejayaan itu adalah hadiah untuk arwah ibu bapanya selain ibu saudara yang menjaganya dan merupakan ibu tunggal setelah kematian suami.

Menurutnya, arwah ibunya meninggal dunia sejak dia berusia lima tahun akibat kemalangan, manakala bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 13 tahun kerana menghidap sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Katanya, kematian ibu bapa membuatkan dia cekal dan tabah menempuh kehidupan dan bernasib baik ibu saudara yang menetap di Taman Bukit Rambai sudi menjaganya serta abangnya yang kini belajar di Politeknik Merlimau Melaka.

"Mengenangkan kesusahan mak cik yang menyara kami dengan pendapatan sebagai pembantu kedai, menjadikan saya semangat untuk belajar lebih gigih.

"Alhamdulillah ALLAH SWT makbulkan doa saya dan ini hadiah untuk arwah ibu bapa, mak cik dan tak lupa guru-guru yang banyak membantu," katanya selepas menerima keputusan cemerlang di SMK Bukit Rambai di sini pada Rabu.

Nur Syafiqah (belakang, empat kiri) bersama rakan-rakannya yang memperolehi keputusan cemerlang di SMK Bukit Rambai, Melaka pada Rabu.
Nur Syafiqah (belakang, empat kiri) bersama rakan-rakannya yang memperolehi keputusan cemerlang di SMK Bukit Rambai, Melaka pada Rabu.

Berkongsi mengenai rahsia kejayaannya, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia sering mengamalkan solat tahajud selain bangun awal pagi sebelum waktu subuh untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran.

"Malah perlu sentiasa positifkan diri dan kekurangan diri bukan alasan untuk tidak berjaya," katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Sementara itu rakannya, Muhammad Nazrin Izham Rizman,18, yang memperolehi keputusan 5A berkata, dia baharu keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa lalu selepas menjalani pembedahan memasukkan tempurung kepala palsu.

Menurutnya, tempurung kepalanya hancur selepas terbabit dalam kemalangan ketika di Tingkatan Tiga sewaktu pulang dari sekolah dan dari saat itu terpaksa menjalani beberapa kali pembedahan selepas insiden tersebut.

Katanya, dengan keadaan kepala yang leper ketika itu, ia sedikit pun tidak melemahkan semangatnya atau berasa rendah diri, namun dia bersyujur mempunyai rakan-rakan yang memahami dan memberikan sokongan.

"Masa percubaan saya tak dapat langsung A dan tiga subjek gagal, namun keputusan 5A saya perolehi kali ini di luar jangkaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!