Perak komited selesai masalah kanak-kanak tercicir
GERIK - Kerajaan Perak komited memastikan semua anak-anak di negeri ini mendapat pendidikan sewajarnya terutama golongan tercicir disebabkan tiada dokumen pengenalan diri.
Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, jawatankuasa bagi menangani masalah itu sudahpun dibentuk di peringkat negeri yang kini memberi tumpuan kepada penyelesaian di Daerah Hulu Perak.
Menurutnya, usaha dijalankan jawatankuasa dianggotai pelbagai agensi itu akan bergerak ke seluruh negeri bagi membantu menyelesaikan isu pendaftaran pendidikan untuk anak-anak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ini.
"Setakat ini kita belum ada nama rasmi untuk jawatankuasa ini tapi fokus kita untuk bantu anak-anak supaya boleh bersekolah. Kita harap usaha dimulakan di Hulu Perak diteruskan ke daerah yang ada masalah seperti ini.
"Kita juga harap usaha ini akan jadi pencetus kepada penyelesaian masalah ini seluruh negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penghulu perlu memainkan peranan menjadi pemudahcara kepada agensi berkaitan menyelesaikan masalah ini.
Menurutnya, sebarang maklumat mengenai kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen boleh disalurkan kepada agensi yang berkaitan.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lanjut daripada Jabatan Alam Sekitar berhubung dakwaan berlaku pencemaran di Sungai Korbu berhampiran Kampung Orang Asli Jalong Tinggi, Sungai Siput.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!