94 peratus graduan UniMAP dapat kerja

Lawatan pihak pengurusan UniMAP ke Kompleks Media Kumpulan Karangkraf disambut Hussamuddin (empat dari kiri).
Lawatan pihak pengurusan UniMAP ke Kompleks Media Kumpulan Karangkraf disambut Hussamuddin (empat dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 94 peratus graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, angka tersebut membuktikan kebolehpasaran graduan kelulusan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) universiti itu semakin meningkat seiring bidang profesional lain.

"Program TVET sedang berkembang dengan pesat dan boleh dikatakan berada pada landasan yang betul kerana pelajar diberi latihan berkaitan sekali gus memenuhi keperluan industri. Maka graduan sudah bersedia untuk industri.

"Ada juga antara mereka (graduan) yang telah mendapat tawaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian. Oleh itu, saya harap program TVET menjadi pilihan pelajar sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kolej matrikulasi dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan pihak pengurusan UniMAP ke Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis.

Kunjungan Zaliman disambut Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Akmal Eirfan (kiri) menunjukkan cetakan al-Quran kepada Zaliman ketika sesi kunjungan UniMAP ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis.
Akmal Eirfan (kiri) menunjukkan cetakan al-Quran kepada Zaliman ketika sesi kunjungan UniMAP ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis.

Zaliman berkata, persepsi masyarakat terutama golongan ibu bapa dan guru terhadap pendidikan TVET perlu diubah dan melihat kursus ini secara meluas selain tidak membandingkan dengan bidang profesional lain.

"Kita tahu program TVET agak baru di Malaysia dan sebelum ini persepsi masyarakat mengatakan bidang ini adalah pilihan kedua mereka.

"Maka persepsi ini perlu diubah kerana sebenarnya TVET merupakan satu program yang baik kerana pelajar dipersiap dan dibekalkan dengan latihan secara praktikal yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri malah dengan kemahiran tersebut mereka boleh mencipta pekerjaan sendiri.

"Kalau lihat program TVET di negara seperti Jerman, Korea, Australia dan Jepun sudah menjadi pilihan utama kerana graduan mereka mudah mendapat pekerjaan terutama dalam industri berkaitan," katanya.

Sementara itu, Zaliman memaklumkan, UniMAP akan menyertai Minggu TVET Negara yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Jun ini di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam.

Katanya, UniMAP akan mempamerkan hasil inovatif pelajar program TVET seperti motosikal elektrik, robot dan dron selain mengikuti seminar antarabangsa yang melibatkan pemilik syarikat industri teknikal untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!