Warga emas maut dilanggar lari
KOTA BHARU - Seorang warga emas maut dalam kemalangan langgar lari membabitkan motosikal dan kereta di Jalan Padang Guchil di sini pada Khamis.
Ketika kejadian, mangsa, Lee Boon Kian, 71, yang menunggang motosikal EX5 membonceng isteri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berjoging.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Wan Zulfikri Wan Othman melalui kenyataan pada Khamis berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu kereta Kancil melalui jalan berkenaan dari arah bertentangan.
"Bagaimanapun, pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar mangsa," katanya.
Menurut beliau, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang turut cedera dihantar ke Hospital Tanah Merah.
"Pemandu kereta Kancil berwarna perak itu menghilangkan diri. Semakan nombor chasis mendapati kenderaan terbabit dilaporkan hilang di Tanah Merah sebelum ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil ke Ibu Pejabat Daerah Tanah Merah atau menghubungi talian 09-9556222 bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!