Diuji positif Covid-19, pelajar buktikan SPM cemerlang
IPOH - Disahkan positif Covid-19 dua hari sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mematahkan semangat seorang pelajar hingga memperoleh keputusan cemerlang.
Cahaya Iman Fatihah Ahmad Soffian, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini berjaya memperoleh 6A daripada keseluruhan lapan mata pelajaran yang diambil meskipun terpaksa menduduki peperiksaan sesi kedua bagi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Ketika ditemui, Cahaya Iman akui, pada peringkat awal, tidak cukup bersedia untuk berdepan situasi dijangkiti Covid-19 dalam suasana peperiksaan penting.
Apatah lagi katanya, wabak berkenaan menyebabkannya mengalami simptom yang agak teruk seperti lemah badan dan demam berpanjangan sepanjang tujuh hari tempoh kuarantin di asrama.
"Saya bersedih dan menangis. Rasa nak 'down' pun ada.
"Rakan dan guru banyak beri semangat dan minta saya bersabar berdepan dugaan besar ini. Mereka tidak mahu saya hilang fokus untuk menghadapi kertas peperiksaan yang seterusnya.
"Mujurlah wabak tidak berlarutan, keadaan saya pulih dalam tempoh seminggu dan dapat menduduki kertas peperiksaan seterusnya sama seperti rakan lain," katanya selepas pengumuman keputusan SPM 2021 di SMK Gunung Rapat di sini pada Khamis.
Dia yang hadir bersama ayahnya, Ahmad Soffian Ahmad Zulkulffli, 56, yang mengalami strok telah disenaraikan sebagai antara pelajar cemerlang SPM 2021 SMK Gunung Rapat.
Anak keempat daripada lima beradik yang aktif dalam sukan hoki itu berkata, sudah menjadi impiannya untuk membawa bapanya yang sukar untuk berjalan naik ke pentas bagi meraikan kejayaan dalam peperiksaan itu.
Katanya, keadaan bapanya diserang strok sehingga pernah dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dua tahun lalu menyebabkan mereka hilang punca pendapatan utama keluarga.
Malah, dia yang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika itu, perlu menolong ibunya bagi menguruskan bapa yang sukar bergerak.
"Saya akui pernah rasa hilang semangat, rasa tak boleh buat tapi apabila fikirkan semula impian untuk bawa ayah naik ke pentas, semangat kembali semula. Itu memang impian saya.
"Sekarang, ayah sudah boleh berjalan, walaupun perlu dipapah, saya cukup gembira kerana berjaya bawa dia naik (pentas) dan tunjukkan keputusan yang saya capai," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!