Kilang baja kotor, busuk diarah tutup
KUALA SELANGOR - Sebuah kilang baja di daerah ini diarahkan ditutup serta-merta berikutan tidak mempunyai lesen mengilang dan dikenakan kompaun kerana beroperasi dalam keadaan kotor dan berbau busuk.
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan, pemeriksaan hasil aduan orang awam itu dijalankan 15 anggotanya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada Selasa.
Menurut MPKS, kilang yang menjalankan operasi memproses sisa ayam sebagai baja pertanian beroperasi di lokasi terlindung dengan aktiviti pertanian sejak tujuh bulan lalu.
"Pemeriksaan mendapati, pengusaha juga gagal menyediakan persekitaran bersih sehingga mengeluarkan bau busuk," katanya dalam hantaran di Facebook MPKS pada Khamis.
Kata MPKS, sitaan turut dikenakan melibatkan dua unit forklift dan satu unit pemampat udara.
"Kes ini disiasat di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!