Polis tahan empat warga Nepal sokong kenyataan hina Nabi

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abd Jalil
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki terlibat dalam penularan video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing di negara ini yang menyatakan sokongan tindakan seorang ahli politik negara India yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia 26 hingga 27 tahun itu ditahan di Meru Klang oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada Khamis.

Menurutnya, polis turut merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan.

"Polis kini sedang mengesan suspek yang masih bebas dan menggesa individu yang terbabit dalam rakaman video berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menyalurkannya kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 JSJ Bukit Aman di talian 03-22666071," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abd Jalil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu memaparkan sekumpulan individu berkumpul menyatakan pendirian mereka menyokong tindakan ahli politik India yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!