PTPTN mohon tempoh diskaun bayaran dilanjutkan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan telah memohon kepada kerajaan agar tempoh pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman dipanjangkan sehingga 31 Disember ini.

Beliau telah menulis surat kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan perkara itu pada April lalu.

Menjelaskan mengenainya, Wan Saiful berkata, sebelum ini kerajaan bersetuju memberikan diskaun 15 peratus kepada peminjam sekiranya membayar keseluruhan pinjaman bermula November tahun lepas.

“Tetapi diskaun tersebut telah tamat pada 30 April 2022 yang lalu.

"Namun pelaksanaan insentif diskaun itu telah memberikan manfaat kepada ramai peminjam,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Menurutnya, dalam situasi ekonomi mencabar, wajar kerajaan meneruskan skim yang sedia ada.

“Dalam situasi ekonomi yang mencabar, sudah pasti diskaun tersebut adalah berita baik yang disambut oleh (orang) ramai.

“Saya tidak minta kelulusan untuk skim baru. Hanya saya mahu mengekalkan skim yang sama sahaja untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini.

“Saya amat berharap kerajaan akan memberi kelulusan kepada cadangan yang saya utarakan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!