Pemandu maut lori jatuh cerun
SUNGAI BULOH - Seorang pemandu lori maut tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam cerun di Lebuhraya Utara Selatan susur keluar dari Hospital Sungai Buloh menghala ke Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.52 tengah hari, mangsa Khairul Farhanuddin Mohd Lias, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang lori tiga tan.
Menurutnya, akibat kemalangan itu lori lima tan telah terbabas dan terjatuh ke dalam cerun ketinggian enam meter menyebabkan pemandunya tersepit di bahagian pemandu dan mengalami cedera parah.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Dua mangsa yang menaiki lori tiga tan mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!