Pegawai AADK maut motosikal bertembung lori
KOTA TINGGI - Seorang pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 1.5 Jalan Perani-Lok Heng dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian jam 8.20 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda dan sebuah lori jenis Hino.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Soleh Kamaruddin, 34, dari arah Kota Tinggi menghala ke tempat kerja di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Tinggi.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal mangsa.
"Mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!