MBSJ keluar tujuh notis berniaga tanpa lesen

MBSJ bersama Jabatan Imigresen Negeri Selangor menjalankan operasi pada Khamis bagi mengenalpasti peniaga yang berniaga tanpa lesen.
MBSJ bersama Jabatan Imigresen Negeri Selangor menjalankan operasi pada Khamis bagi mengenalpasti peniaga yang berniaga tanpa lesen.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan tujuh notis ke atas peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan Pangsapuri Angsana, USJ 1, di sini pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan tersebut dilaksanakan menerusi satu operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Negeri Selangor.

Menurutnya, operasi itu diketuai Pengarah Penguatkuasa MBSJ, Muhammad Zaki Yusoff dengan kekuatan 61 anggota pegawai daripada pelbagai jabatan serta enam anggota daripada Jabatan Imigresen Negeri Selangor yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Rohaizad Radzali.

Seramai 13 orang PATI turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen permit perjalanan yang sah.
Seramai 13 orang PATI turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen permit perjalanan yang sah.

"Pihak MBSJ menjalankan pemeriksaan terhadap 32 premis sekitar dan mendapati terdapat peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

"Notis dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MBSJ dan meletakkan barang-barang yang berhubung dengan trednya di tempat awam dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Azfarizal berkata, seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita ditahan di lokasi kerana tidak mempunyai dokumen permit perjalanan yang sah.

Ujarnya, mereka akan disiasat di atas kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di atas pelbagai pas.

"Pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!