'Saya hanya dengar titah Sultan Selangor, tiada perbincangan'
SHAH ALAM - Tiada sebarang perbincangan mengenai Festival Bon Odori antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dalam satu pertemuan di Istana Bukit Kayangan di sini pada Selasa.
Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang itu berkata, beliau ke sana hanya untuk mendengar titah baginda sahaja.
"Saya mengesahkan bahawa dalam majlis tersebut saya hanya mendengar titah Sultan Selangor dan tidak ada sebarang perbincangan antara saya dengan baginda.
"Saya dengan ini menafikan kenyataan berkaitan pertemuan tersebut sebagaimana dilaporkan oleh sebuah media tempatan pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, sebuah media tempatan melaporkan Ahmad Yunus menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini untuk berbincang mengenai Festival Bon Odori yang akan diadakan di sini pada Julai depan.
Memetik berita tersebut, Setiausaha Pas Selangor berkata, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya dihubungi oleh pihak istana pada Selasa berikutan baginda ingin mengetahui pendirian pihak tersebut berkenaan penganjuran festival berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!