Maritim tahan kapal bawa bekalan minyak tanpa kebenaran

Antara bekalan minyak tanpa kebenaran yang dikesan berhampiran perairan di Pelabuhan Klang pada Jumaat.
Antara bekalan minyak tanpa kebenaran yang dikesan berhampiran perairan di Pelabuhan Klang pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Padah membawa bekalan minyak tanpa kebenaran, sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di Pelabuhan Klang pada Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, V Sivakumar berkata, bot berkenaan ditahan semasa rondaan rutin dijalankan anggota Maritim di perairan negeri ini.

Menurutnya, menerusi rondaan yang dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi, anggota Maritim melihat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di 0.1 batu nautika barat daya Pelabuhan Kelang.

"Pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan tekong berumur 60 tahun dan seorang kru berumur 64 tahun, kedua individu merupakan warga tempatan.

"Selain itu, pemeriksaan turut menemukan 15 tong minyak diesel, 32 baldi dan 30 botol minyak pelincir di atas bot," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, tekong dan kru juga telah gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah untuk membawa bahan tersebut.

"Tekong dan kru didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA).

"Tekong hanya memiliki PDA yang telah tamat tempoh berakhir pada 30 Julai 2021," katanya.

Menurutnya, tekong, kru, bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Petroleum 1985 (Langkah-Langkah Keselamatan dan Pengangkutan Petroleum Melalui Air).

"Maritim akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!