Lantikan ahli Parlimen belia dilanjut sehingga 2023

Ahmad Faizal ketika bersama para Perwakilan selepas Persidangan Parlimen Belia Malaysia 2022 pada Khamis. - Foto Bernama
Ahmad Faizal ketika bersama para Perwakilan selepas Persidangan Parlimen Belia Malaysia 2022 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
KEMENTERIAN Belia dan Sukan bersetuju untuk melanjutkan tempoh lantikan ahli Parlimen Belia Malaysia (PBM) bagi sesi 2019-2021 hingga 2023, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, pembabitan belia dalam sidang Parlimen kali ini dilihat mampu mencorak pemimpin muda yang berkualiti dan digilap untuk menjadi pemimpin pelapis.

"Sesi perbahasan dilakukan dengan baik dan empat usul yang dibentangkan dibawa kepada kementerian berkenaan dan pihak mereka telah menghantar pegawai untuk mencatat segala perkara.

"Oleh itu hari ini, saya telah membacakan jawapan penggulungan yang telah diberikan oleh kementerian yang berkaitan,” katanya selepas ucapan penggulungan pada persidangan PBM di sini pada Khamis.

Jelas Ahmad Faizal lagi, sekiranya selepas ini masih terdapat beberapa cadangan dan persoalan pihak kementerian berkenaan akan melihat semula perkara tersebut.

Antara usul yang dibahaskan adalah meminda had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam dan bukan Islam, inisiatif khas bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor penternakan dan pertanian bagi menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021 hingga 2025.

Selain itu, meminda akta perlindungan bagi kanak-kanak, orang-orang tua dan golongan orang kurang upaya (OKU) serta meminta untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menegur beberapa sikap kurang baik ditonjolkan oleh ahli PBM sewaktu persidangan berlangsung.

"Saya amat berpuas hati, namun saya menegur ahli PBM yang tidak begitu serius dalam menghadiri sidang Parlimen ini iaitu jumlah ahli adalah 153 dan 68 daripada mereka tidak hadir pada hari ini, selain menjaga disiplin di dalam dewan,” katanya.

Katanya, mereka menerima teguran ini dengan baik dan ini menunjukkan kematangan sikap yang sewajar dimiliki oleh belia pada masa kini. - Bernama



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!