Permaisuri Agong hadir sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II
KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah malam ini berkenan menghadiri sambutan Jubli Platinum dan ulang tahun keputeraan ke-96 Ratu Elizabeth II yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British.
Tunku Azizah, yang diiringi anakanda baginda Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, berkenan berangkat ke majlis itu yang dihadiri lebih 800 orang termasuk Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai tetamu kehormat.
Kerabat diraja Malaysia, wakil kanan kementerian, anggota Kor Diplomatik dan komuniti perniagaan turut hadir.
Sambutan yang berlangsung di The Sime Darby, Bukit Kiara di sini dimulakan dengan ucapan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Ratu Elizabeth serta Yang di-Petuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah.
Charles turut menyentuh mengenai hubungan akrab kedua-dua negara yang disifatkan beliau sebagai semakin berkembang ke arah perkongsian dunia moden dengan kerjasama merentasi bidang kepentingan bersama.
"United Kingdom (UK) menyumbang sejumlah 15 juta Paun British dalam tempoh tiga tahun lepas sahaja untuk melaksanakan program kerjasama dengan Malaysia.
"Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kita berjumlah lebih 5 bilion Paun British dengan UK berhasrat mengembangkan sektor keutamaan," katanya.
Pada acara malam ini, tetamu disajikan dengan persembahan kebudayaan terbaik British dan pertandingan ratu cantik termasuk aksi oleh British Circus.
Tunku Azizah dan Tengku Jihan turut berkenan meluangkan masa melihat potret Ratu Elizabeth yang dilakar menggunakan pensil karya artis Malaysia Hakim Abdullah, juga dikenali sebagai Pencil Ninja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!