Sampai bila nak bergantung tenaga asing?
WALAUPUN kegiatan ekonomi negara sudah kembali seperti biasa selepas kerajaan melonggarkan sekatan akibat penularan Covid-19, namun sebahagian majikan masih belum dapat menarik nafas lega.
Bagi sesetengah majikan, mereka masih menunggu kemasukan pekerja asing baharu berikutan yang lama sudah pulang ke negara asal sepanjang pandemik Covid-19.
Data menunjukkan Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja asing untuk mengisi kekosongan dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.
Walaupun banyak industri berkaitan perladangan misalnya sudah menggunakan pelbagai teknologi terkini, tenaga kerja manusia masih diperlukan.
Ini disebabkan muka bumi yang berbukit-bukau seperti di kebanyakan ladang kelapa sawit menyukarkan pengoperasian jentera.
Setakat ini, kerajaan sudah membenarkan pengambilan 200,000 tenaga buruh asing, terutama dari Indonesia.
Kementerian Sumber Manusia juga dalam proses akhir membabitkan prosedur pengambilan, proses teknikal dan pemeteraian memorandum dengan Indonesia, serta dua lagi negara iaitu Bangladesh dan Kemboja.
Namun, sampai bila kita mahu terus bergantung harap kepada tenaga asing untuk menggerakkan ekonomi negara?
Tidak dinafikan rakyat Malaysia kurang berminat bekerja di ladang berbanding rakyat asing yang melihat gaji diterimanya lumayan di sini.
Kebergantungan tenaga asing sebenarnya memberi kesan kepada ekonomi dan sosial.
Masalah itu sudah dirasai sekarang, antaranya pengaliran keluar mata wang ringgit dan penguasaan sesetengah sektor perniagaan oleh warga asing sehingga mengetepikan hak warga tempatan.
Terdapat cadangan supaya kerajaan melatih pelajar sekolah lepasan SPM yang masih menganggur menjadi pekerja mahir dalam pelbagai sektor bergantung kepada tenaga asing, dengan kadar gaji bersesuaian.
Satu program komprehensif boleh dirangka untuk melatih mereka di sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).
Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan insentif kepada mereka yang terlibat dalam program tersebut dengan menawarkan kadar gaji lebih tinggi berbanding tenaga asing.
Namun, itu hanyalah cadangan yang perlu kajian dan penelitian mendalam.
Jika kita tidak bertindak dari sekarang, sampai bila-bila pun masalah tenaga kerja di negara ini tidak akan selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!