Memperkukuh sekuriti makanan negara

Penyelidikan ikan jamin stok bekalan, lebih produktif

A
A
A

Ahmad (tengah) bersama Wan Muhammad Aznan merasmikan Pra Pelancaran Simposium Ke-11 Diseases in Asian Aquaculture (DAA11) yang diadakan di Jabatan Perikanan Malaysia, pada Khamis.
Ahmad (tengah) bersama Wan Muhammad Aznan merasmikan Pra Pelancaran Simposium Ke-11 Diseases in Asian Aquaculture (DAA11) yang diadakan di Jabatan Perikanan Malaysia, pada Khamis.

PUTRAJAYA - Penyelidikan di dalam sektor perikanan mampu menjamin bekalan sekuriti makanan negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Menurutnya, kajian ikan, pemerkasaan penternakan, pengkomersialan dan inovasi menjadi nadi pembangunan sektor tersebut selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

"Bagi mencapai matlamat DAN 2.0, kaedah perikanan pintar menjadi fokus memodenkan sektor perikanan negara bagi meningkatkan produktiviti semua sub-sektor agromakanan," katanya.

Ahmad (kiri) menyampaikan Sijil Jalinan Kerjasama kepada rakan penganjur yang terlibat.
Ahmad (kiri) menyampaikan Sijil Jalinan Kerjasama kepada rakan penganjur yang terlibat.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam kajian tersebut tepat pada masanya.

Dengan produk-produk yang dihasilkan oleh penyelidik, ia dapat memantau dan mengawal kejadian penyakit serta meminimakan kerugian akibat kematian ikan atau udang.

“Selain itu, ia turut memberi pilihan kaedah kawalan atau rawatan kepada kumpulan sasar melalui penggunaan produk mesra alam yang boleh mengehadkan wabak penyakit yang mengancam industri akuakultur.

Keadaan ini menyebabkan produk akuakultur yang dihasilkan adalah selamat dan mampan.

AHMAD
AHMAD

Ahmad berkata, jabatan mensasarkan untuk hasil pengeluaran dari akuakultur meningkat kepada 40% pada tahun 2025. Penghasilan produk rawatan penyakit ikan berasaskan herba dan menjamin biosekuriti perikanan.

Namun katanya, penyelidik telah membuat penemuan baharu berasaskan produk herba yang selamat untuk biosekuriti perikanan.

Ujar Ahmad, kajian tersebut bertujuan memastikan penternak dapat membekalkan ikan yang sihat dan berkualiti bahkan selamat untuk dimakan.

Tambahnya, setakat ini, industri perikanan negara tidak mengalami masalah kekurangan ikan.

"Pendaratan ikan di seluruh negara masih stabil dan pengeluarannya mencukupi untuk keperluan rakyat," katanya.

Menurutnya, sumber perikanan amat penting kepada rakyat negara ini kerana penggunaan ikan per kapita (Per Capita Consumption) negara iaitu 45.15 kilogram setahun dengan tahap kecukupan (SSL) ikan adalah 92.75 peratus.

"Ini bermakna orang Malaysia memang makan ikan, sebab itulah kita beri penekanan kepada sektor perikanan bukan sahaja dapat membekalkan ikan yang selamat bahkan tidak ada mempunyai masalah," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan pra pelancaran Simposium Ke-11 Diseases In Asian Aquaculture (DAA) di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah.

Ahmad berkesempatan melawat gerai-gerai pempamer di tapak pameran.
Ahmad berkesempatan melawat gerai-gerai pempamer di tapak pameran.

Simposium DAA merupakan satu forum peringkat antarabangsa yang membincangkan mengenai penemuan terkini dalam penyelidikan kesihatan ikan, teknologi pengesanan penyakit, maklumat pengawalan penyakit, peraturan antarabangsa dan maklumat lain yang berkaitan pengurusan kesihatan ikan.

Siri DAA telah berjaya mengumpul saintis, penyelidik, industri akuakultur, pihak berkuasa dan industri berkaitan dalam kesihatan ikan dari pelbagai benua.

Kira-kira 500 peserta daripada 30 negara menghadiri siri DAA, manakala sebanyak sembilan inovasi Institut Penyelidikan Perikanan di bawah DOF akan diketengahkan semasa DAA11.

Ahmad (dua, kanan) melawat salah satu gerai pempamer.
Ahmad (dua, kanan) melawat salah satu gerai pempamer.

Produk tersebut dapat membantu membangunkan industri akuakultur supaya lebih mapan dan berdaya saing.

Bertemakan Sarawak, Dunia Pengembaraan: Menerokai Kesihatan Haiwan Akuatik untuk Kelestarian Industri Akuakultur, DAA11 dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), International Islamic University Malaysia (IIUM), WorldFish, Aquaculture Asia Pacific (AAP), dan Persatuan Nelayan Malaysia (MFS) serta disokong oleh Sarawak Convention Bureau (SCB).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!