'Arwah janji nak solat Jumaat bersama'- Bapa

Bapa salah seorang mangsa, Azman Mahmod, 61, (kiri) mengiringi jenazah kedua-dua mangsa lemas yang dibawa ke Hospital USM pada Jumaat.
Bapa salah seorang mangsa, Azman Mahmod, 61, (kiri) mengiringi jenazah kedua-dua mangsa lemas yang dibawa ke Hospital USM pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - “Kami janji untuk solat Jumaat sama-sama,” luah bapa salah seorang pelajar sekolah pondok yang ditemui lemas, Muhammad Zul Hafiz Azman, 18, di sungai Gong Dermin, Kubang Kerian di sini pada pagi Jumaat.

Bapa mangsa, Azman Mahmod, 61, berkata, dia menetap di Selangor baru lepas bersara dan berhasrat untuk berpindah ke kampung halaman di Pengkalan Chepa, Kelantan serta berjanji untuk berjumpa dengan anak bongsu daripada lima beradik itu pada Jumaat.

Katanya, mereka berjanji untuk bertemu bagi urusan perpindahan keluarga selain berhasrat menunaikan solat Jumaat bersama-sama.

“Semalam, saya baru saja menerima WhatApps daripadanya memberitahu tentang pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) miliknya yang diumumkan pada Khamis.

“Saya mengucapkan tahniah dan memberitahunya rancangan serta berjanji untuk bertemu dia pada hari ini.

"Kami juga berjanji untuk pergi menunaikan solat Jumaat bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini pada Jumaat.

Azman berkata, anak lelakinya itu baru sahaja dihantar ke sekolah pondok di Pasir Tumboh tersebut atas permintaan remaja itu sendiri untuk menjadi hafiz al-Quran selepas menamatkan SPM baru-baru ini.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada Aidilfitri lalu dan kemudian menghantarnya ke sekolah pondok tersebut serta kami tidak bertemu selepas itu.

“Dia anak yang baik dan tidak pernah mandi sungai kerana dia tidak pandai berenang,” katanya sayu.

Menurutnya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Pengkalan Chepa di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mayat dua pelajar pondok ditemui dalam keadaan berpelukan di sungai Gong Dermin, Kubang Kerian di sini pada jam 8.40 pagi, Jumaat.

“Kedua-dua mayat ditemukan dalam keadaan terapung di permukaan air sejauh 20 meter daripada tempat mereka turun ke sungai serta berpelukan antara satu sama lain.

“Kedua-dua jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital USM untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang Khamis itu, kedua-dua mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama sembilan rakan sekolah yang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!