Api setinggi bangunan dua tingkat, saluran LPG kilang rokok terbakar

Bomba memadam kebakaran sehingga jam 2.40 pagi. - Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2
Bomba memadam kebakaran sehingga jam 2.40 pagi. - Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2
A
A
A

SEREMBAN - Saluran gas petroleum cecair (LPG) di sebuah kilang rokok di Kawasan Perindustrian Oakland, Seremban 2 di sini terbakar, pada Khamis.

Kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu menyebabkan api besar menjulang setinggi bangunan dua tingkat dan dapat dilihat dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, bomba menerima maklumat kejadian itu pada jam 11.41 malam dan sampai ke lokasi seminit kemudian.

"Didapati saluran gas asli bawah tanah di stesen gas berkeluasan 91 meter persegi di kilang berkenaan terbakar.

"Kawasan kilang tersebut turut mempunyai pusat pameran kereta dan substesen TNB, bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan struktur bangunan sebaliknya membabitkan kawasan dekat stesen gas berkenaan serta merosakkan dua kenderaan pekerja.

"Kejadian juga tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, "katanya ketika dihubung, pada Jumaat.

Menurutnya, seramai 21 pegawai dan anggota dari BBP Seremban 2, Seremban, Nilai, Rembau dan Teluk Kemang terlibat dalam operasi itu yang mengambil masa lebih kurang dua jam iaitu sehingga jam 2.40 pagi.

Operasi turut mendapat bantuan daripada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Gas Malaysia serta polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!