Lelaki leka pancing duit surau ditangkap penduduk

Tangkapan seorang lelaki yang mencuri duit dalam peti besi sebuah surau di Bukit Kapar tular dalam media sosial.
Tangkapan seorang lelaki yang mencuri duit dalam peti besi sebuah surau di Bukit Kapar tular dalam media sosial.
A
A
A

BUKIT KAPAR – Seorang lelaki yang leka memancing duit dalam sebuah peti besi surau sehingga tidak menyedari dirinya diperhatikan ditangkap sekumpulan penduduk, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suspek yang berusia 37 tahun sedang asyik mencuri duit menggunakan alat untuk memancing keluar duit di dalam peti besi terbabit sebelum ditangkap penduduk.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit yang turut tular dalam media sosial.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 April nanti bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan itu, Nurulhuda berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk yang memohon bantuan selepas berjaya menangkap suspek.

“Suspek yang mengalami kecederaan ringan di mata itu turut mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Meru, Klang sebelum dibawa ke balai polis.

“Sebelum kejadian, seorang penduduk yang mahu menunaikan solat di Surau Haji Jangidin, Bukit Kapar terkejut melihat suspek yang sedang memancing duit peti besi surau terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk meminta pertolongan jiran jampung berdekatan surau untuk membantu menangkap suspek dan setelah mengepung, suspek berjaya ditangkap manakala duit yang cuba dicuri berjumlah RM693 berjaya diselamatkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!