[VIDEO] Majlis Peguam serah memorandum, tuntut empat perkara
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Majlis Peguam menuntut empat perkara untuk memastikan badan kehakiman negara dapat bergerak bebas.
Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, empat perkara tersebut terdapat dalam memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Pertama, kami mahu kebebasan badan kehakiman ditegakkan.
"Kedua, kami mahu kerajaan memelihara kepercayaan orang awam terhadap badan kehakiman.
"Selain itu, kami mengutuk tindakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali
"Keempat, kami mahukan Parlimen mereformasi undang-undang untuk memastikan dakwaan terhadap hakim yang bertugas dilakukan dengan betul supaya tidak merosakkan keyakinan terhadap badan kehakiman," katanya berucap dalam Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Perhimpunan tersebut bermula dengan ucapan daripada beberapa orang kepimpinan Majlis Peguam pada jam 10 pagi sebelum mereka cuba bergerak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi pihak Ismail Sabri.
Bagaimanapun, pergerakan mereka tidak dibenarkan sebelum rundingan selama beberapa minit dilakukan oleh pihak Majlis Peguam bersama polis.
Perhimpunan yang disertai kira-kira 300 peserta itu bagaimanapun tetap tidak dibenarkan untuk bergerak ke Parlimen dan mereka kembali berhimpun di Padang Merbok.
Memorandum itu kemudiannya diserahkan kepada Mas Ermieyati yang hadir ke Padang Merbok kira-kira jam 11 pagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perhimpunan itu juga untuk meluahkan kekecewaan barisan peguam terhadap tindakan yang mengganggu badan kehakiman.
"Kami mahu agar hakim dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut dan bebas," katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada Ismail Sabri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Saya percaya keadilan akan dapat ditegakkan," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!