Jangan ambil mudah halal haram muamalat

Gambar hiasan 123rf
Gambar hiasan 123rf
A
A
A

IPOH - Kesedaran tentang aktiviti halal dan haram dalam bidang muamalat kalangan masyarakat di negara ini masih rendah.

Teguran menerusi khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu menyatakan, antara perkara utama yang diharamkan dalam muamalat ialah riba iaitu lebihan nilai yang disyaratkan dalam akad hutang dan gharar iaitu ketidakpastian yang nyata dalam akad jual beli.

Turut dinyatakan pengharaman dalam mualamat adalah maysir iaitu unsur perjudian atau pertaruhan dalam memperoleh harta yang bergantung pada nasib dan memiliki harta secara batil meliputi penipuan, rasuah dan menzalimi hak orang lain

Menurutnya, pelbagai nas daripada al-Quran dan hadis menjelaskan pengharaman perkara-perkara tersebut, namun kesedaran mengenai aktiviti itu masih juga rendah.

"Sebagai contoh masih ramai yang dilapor tidak malu meminta dan menerima rasuah, sedangkan tanpa ragu hukumnya adalah haram.

"Umat Islam yang bekerja baik di sektor awam, begitu juga di sektor swasta wajib menjalankan kerja dengan penuh amanah.

"Pastikan gaji yang diterima adalah halal dan suci daripada sebarang unsur penipuan seperti culas pada waktu bekerja, membuat tuntutan palsu, menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi dan melakukan rasuah.

"Perbuatan-perbuatan sedemikian merupakan contoh-contoh memperoleh pendapatan secara batil yang diharamkan dalam muamalat Islam," jelas intipati khutbah berkenaan.

Khutbah Jumaat bertajuk 'Kewajiban bermualamat secara patuh syariah' itu menjelaskan, antara keperluan utama dalam hidup manusia ialah rumah dan kenderaan.

Justeru katanya, bagi mereka yang tidak mampu memilikinya secara tunai, mereka wajib melanggan pembiayaan perumahan dan kenderaan patuh syariah yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam.

Begitu juga dengan perlindungan diri dan harta dengan mengambil produk-produk takaful ditawarkan oleh pelbagai syarikat takaful, bukannya insurans konvensional yang terlibat dengan elemen riba dan gharar yang diharamkan.

"Dalam bidang pelaburan, elakkan daripada menyertai skim-skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap yang ditawarkan oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai penasihat syariah.

"Begitu juga dengan perdagangan mata wang secara atas talian (online forex trading) yang diputuskan haram oleh sebahagian besar sarjana Islam kerana melibatkan unsur-unsur perjudian, gharar dan riba," jelas khutbah Jumaat tersebut.

Khutbah yang dibacakan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di Perak itu turut menyentuh perkara berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, KWSP telah menyediakan akaun yang diuruskan mengikut prinsip syariah mulai 1 Januari 2017, namun setelah lima tahun akaun simpanan syariah diperkenalkan, hanya 15 peratus ahli KWSP beragama Islam yang memilih bertukar ke akaun patuh syariah.

"Di Perak, hanya 13 peratus ahli KWSP beragama Islam yang telah bertukar ke akaun simpanan syariah.

"Bermakna, dividen yang diterima setiap tahun oleh ahli KWSP beragama Islam yang belum bertukar ke simpanan patuh syariah adalah hasil daripada pelaburan bercampur antara yang halal dengan yang haram.

"Demi membersihkan pendapatan tersebut, mereka perlu menyalurkan peratusan dividen yang tidak patuh syariah kepada Baitulmal untuk kemaslahatan umum atau kepada golongan fakir dan miskin, seperti yang dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 24 September 2014, bertajuk 'Fatwa Mengenai Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal'," kata khutbah itu.

end

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!