Padah lesen memandu tamat tempoh, ubah suai kenderaan

Antara kenderaan yang diperiksa sepanjang Op Kenderaan Persendirian di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada Khamis.
Antara kenderaan yang diperiksa sepanjang Op Kenderaan Persendirian di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada Khamis.
A
A
A

PUCHONG - Lesen memandu tamat tempoh antara kesalahan tertinggi yang dikesan sepanjang Op Kenderaan Persendirian di Persiaran Kinrara, di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi penguatkuasaan bermula jam 9 pagi itu telah memeriksa sebanyak 127 buah kenderaan persendirian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, 57 buah kenderaan telah diambil tindakan 88 notis kompaun dan notis arah periksa dibawah Seksyen 61(1) APJ 1987 dan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) setelah dikesan melakukan pelbagai kesalahan teknikal.

Anggota JPJ memeriksa kenderaan pada Op Kenderaan Persendirian di Bandar Kinrara, Puchong.
Anggota JPJ memeriksa kenderaan pada Op Kenderaan Persendirian di Bandar Kinrara, Puchong.

"Antara kesalahan utama adalah lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan ubah suai kenderaan.

"Kesalahan teknikal turut direkodkan iaitu ubah suai kenderaan dan ubah suai ekzos tanpa kebenaran," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Katanya, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!