Undi 18: Wanita, Pemuda PBB perlu giat usaha dekati pengundi baharu

Douglas Uggah Embas
Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Pergerakan Wanita serta Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digesa mempergiat usaha mendekati pengundi baharu yang bertambah susulan pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehingga 31 Disember lepas, Sarawak telah merekodkan seramai 1,927,750 pemilih berdaftar.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, jumlah itu menyaksikan kenaikan sebanyak 675,077 pemilih baharu.

"Pastikan kita ajak mereka untuk menyertai PBB. Jika mereka bukan Bumiputera ajak mereka sertai parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain. Jika kita tidak melamar mereka, maka mereka akan ke parti lain.

"Bawa mereka ke program kita. Pemuda dan Wanita perlu jelaskan apa perjuangan kita,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung ke-15 Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda Parti PBB di sini, hari ini.

Perhimpunan tiga hari yang bermula hari ini itu menghimpunkan seramai 2,420 orang perwakilan dan pemerhati.

PBB merupakan tonggak yang menerajui GPS yang turut dianggotai Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu, Uggah turut meminta perwakilan Wanita dan Pemuda PBB untuk menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri terutama berkaitan isu tempatan.

Katanya, kerajaan dan pemimpin parti yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan negeri, malah Persekutuan juga terbuka menerima sebarang maklum balas.

"Maklum pada kami jika ada projek yang tidak ikut spesifikasi atau lambat. Kami perlukan anda untuk memberi kami maklum balas.

"Jangan tunggu masa pilihan raya sahaja baru nak mengadu masalah projek, beritahu sekarang supaya kita dapat perbaiki projek, kami perlukan anda untuk jadi mata dan telinga kami,” katanya. - Bernama