Wan Zahidi dilantik Mufti Perak baharu

Wan Zahidi
Wan Zahidi
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilantik sebagai Mufti Perak berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Lantikan Wan Zahidi, 80, mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk tempoh perkhidmatan selama dua tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, anak jati Gerik itu kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

"Beliau merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

"Memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam," katanya.

Selain Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Zahidi juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia.

Jawatan Mufti Perak kosong selepas pemergian Tan Sri Harussani Zakaria pada 30 Mei 2021.

Allahyarham Harussani, 82, yang dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!