Polis kenal pasti individu sertai perhimpunan Majlis Peguam
KUALA LUMPUR - Polis telah mengenal pasti beberapa individu yang hadir pada Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berkenaan akan dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam masa terdekat.
"Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 dan Peraturan 7.
"Siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Peralihan Endemik 2022," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan ratusan peguam menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok.
Perhimpunan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu bagi menuntut agar badan kehakiman terus bebas daripada mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, dianggarkan seramai 220 individu yang terdiri daripada ahli Majlis Peguam dan beberapa individu yang belum dikenal pasti telah berhimpun sambil memegang plakad 'Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman'.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!