Tidak serasi rakan sebilik antara aduan diterima jemaah haji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MAKKAH - Isu gangguan emosi, masalah komunikasi suami isteri dan ketidakserasian antara rakan sebilik menjadi antara aduan yang diterima sepanjang musim haji.

Pengurus Kaunseling Operasi Haji, Mohammad Hanif Napi berkata, sesetengah jemaah dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sebilik tetapi ada juga yang terlalu sukar menerima karenah jemaah lain hingga ada yang mengalami tekanan perasaan.

Menurutnya, apabila mendapat aduan, pihaknya akan memanggil pengadu untuk berbicara secara tertutup dan memberi nasihat sebaiknya, terutama dalam memberi penekanan tentang tujuan asal hadir ke Tanah Suci.

"Kebiasaannya isu penyesuaian agak dominan kepada jemaah lelaki mahupun wanita dan berlaku juga ketidaksediaan mereka dalam berdepan dengan suasana di sini. Ada yang daripada tanah air lagi yang telah mempunyai simptom rasa cemas dan telah dapatkan rawatan psikiatri dan di sini ia turut berlaku.

"Tetapi ada juga yang tidak mempunyai masalah itu di tanah air dan merasa cemas di Tanah Suci kerana faktor-faktor persekitaran. Jika keadaan dilihat memerlukan pemerhatian lanjut, kami akan bersama dengan doktor pakar untuk menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah, yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah.

Mohammad Hanif berkata, meskipun jumlah aduan yang diterima sangat kecil tetapi ia tetap diambil perhatian serius bagi memastikan jemaah mendapat ketenangan sehingga selesai ibadah haji, malah pihaknya menyediakan perkhidmatan kaunseling dari bilik ke bilik.

"Persediaan yang rapi dari sudut kesihatan mental dan psikologi di Tanah Suci ini sangat penting, jadi di samping dapatkan ilmu kefahaman hukum hakam ibadah haji, jemaah boleh dapatkan bantuan dan maklumat tentang perkara yang boleh dilakukan (di Makkah) sejak di tanah air lagi.

"Jemaah juga disaran selesaikan apa yang tak selesai di tanah air. Penerimaan dengan jemaah haji lain penting dan sentiasa berdoa agar dipermudahkan urusan,” katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama lapan tahun dalam pengurusan kaunseling berkata, selain masalah tersebut, pihaknya juga akan bersama dengan jemaah sekiranya terdapat khabar duka dari tanah air mahupun di Tanah Suci.

Katanya, sesetengah jemaah akan berdepan dengan situasi kematian ahli keluarga dan mereka memerlukan sokongan moral untuk terus bersemangat meneruskan ibadah.

Dalam keadaan tersebut, pihak kaunseling akan bersama-sama dengan unit Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) dan rata-rata jemaah akan reda dengan keadaan yang berlaku malah meneruskan ibadah sehingga selesai musim haji.

Sementara itu kaunselor TH, Khodrulnada Mohamad berkata, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan aduan berjaya diselesaikan kecuali yang melibatkan psikiatri kerana ia akan melibatkan rawatan agak lama.

Tambahnya, lawatan bilik ke bilik juga berkesan dan setiap aduan yang diterima akan dimaklumkan kepada pihak pengurusan dan segala kerahsiaan pengadu sentiasa terpelihara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!