KPM peruntukkan RM25.9 juta naik taraf kemudahan di SSBJ

Mohd Radzi ketika membuat tinjauan di SSBJ.
Mohd Radzi ketika membuat tinjauan di SSBJ.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM25.9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rolling Plan 2 Tahun 2022 untuk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, peruntukan tersebut bagi pembinaan gelanggang serbaguna terbuka, trek sintetik dan kerja-kerja naik taraf kemudahan sekolah.

"Ini pastinya dapat meningkatkan lagi semangat atlet murid untuk terus berlatih," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Menurutnya, KPM komited dalam memastikan prasarana sukan di sekolah itu sentiasa berada di tahap terbaik demi kesejahteraan pendidikan warga SSBJ.

"Pagi tadi saya membuat tinjauan di sekolah ini yang telah banyak melakar sejarah melahirkan atlet kebangsaan dalam pelbagai jenis sukan berkualiti tinggi.

"Ketika di sana sempat berjumpa jurulatih, guru serta melihat anak-anak bakal jaguh sukan ini mengikuti pembelajaran masing-masing di dalam kelas.

"Apa yang pasti, anak-anak yang dianugerahkan dengan bakat sukan ini ternyata kental dan berjiwa besar dalam mengimbangi bidang akademik dan bukan akademik," katanya.

Mohd Radzi berharap agar bakat murid terus digilap oleh guru berwibawa supaya mereka menjadi permata bernilai.

"Anak-anak juga perlu giat berusaha bagi meningkatkan potensi diri ke tahap paling tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!