Kerajaan jamin badan kehakiman, legislatif terpelihara

Ismail Sabri ketika berucap pada Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universtiti Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap pada Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universtiti Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kebebasan badan kehakiman dan legislatif akan terus terpelihara di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, jaminan itu diberi bagi memastikan konflik antara badan Eksekutif dan Kehakiman yang pernah terjadi suatu ketika dahulu tidak berulang.

"Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang, saya menghormati doktrin pengasingan kuasa di antara Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman.

"Ketiga-tiga institusi ini mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu menghormati setiap badan ini.

"Setiap dasar yang digubal oleh kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan kini turut berusaha mentransformasikan badan legislatif bagi memastikan ia berfungsi dengan sempurna.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dilakukan termasuk akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1993 bagi memperkasakan lagi peranan badan berkenaan.

Langkah itu katanya, selaras dengan usaha diambil oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa.

“Misalnya, kerajaan telah melakukan perubahan dalam Parlimen apabila kita menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berbanding hanya lima sebelum ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!