Kes HFMD turun 11 peratus di Kedah
ALOR SETAR – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah turun 11 peratus dengan 702 kes pada Minggu Epidemiologi ke-23 (ME23) berbanding 789 kes pada minggu sebelumnya.
Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, Kedah merekodkan penurunan sebanyak 87 kes HFMD dalam tempoh 5 hingga 11 Jun 2022.
Menurutnya, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes HFMD di Kedah sehingga 11 Jun 2022 adalah sebanyak 4,894 kes.
“Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar.
“Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Hayati memaklumkan tiada wabak HFMD baharu dilaporkan sepanjang ME23.
Beliau berkata, sebanyak 50 wabak HFMD telah dilaporkan di Kedah dengan 98 peratus berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika dan prasekolah.
Susulan itu, katanya, premis terlibat telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan pencegahan jangkitan.
“Dengan perkembangan ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ingin menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko dijangkiti,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan jangkitan HFMD di negeri ini dapat dikawal secepat mungkin apabila semua memainkan peranan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!